Total Pageviews

Sunday, June 5, 2011

Penjara Pudu yang sarat menyimpan 1001 kisah sudah berkubur...

         


Artikel menarik mengenai Penjara pudu hasil nukilan Saudara ROSLAN BIAN....

Penulis sengaja ke Penjara Pudu pada pagi Isnin sebelum ke bangunan Parlimen untuk tugas rutin membuat liputan persidangan Dewan Rakyat yang masih membahasakan usul RMK 10.
Bagi sesetengah orang terutama warga kota, bangunan Penjara Pudu yang sudah usang itu tidak memberi banyak erti selain menempatkan banduan banduan-banduan atau pesalah yang berdepan hukuman penjara mahupun hukuman mati.
Namun bagi penulis, Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal di Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah itu menyimpan sejarah yang masih segar dalam ingatan setiap kali melintas tembok setinggi 4.5 meter.
Ramai tidak tahu mural atau lukisan sepanjang 384 meter di tembok itu adalah terpanjang di dunia dan dilukis oleh banduan diketuai Khong Chong Yen menggunakan 2,000 liter cat pada 1983.
Pernah penulis mengusik beberapa orang rakan mengajaknya ‘berkelah’ di Jalan Pudu kerana ada air terjun yang menarik menyebabkan mereka bertanya, mana ada air terjun di situ.
Bila penulis merujuk kepada mural tersebut, barulah mereka faham dan ketawa.
Bagaimanapun, penjara yang banyak menceritakan kisah suka duka dan mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar dan siap sepenuhnya pada tahun 1895 terpaksa akur kepada pembangunan yang memerlukan penjara menyerupai Penjara Kindy Bogambia berbentuk X terpaksa dirobohkan mulai hari ini.
Penjara Pudu yang sarat menyimpan 1001 kisah dan tauladan terutama kepada penghuni, kakitangan Jabatan Penjara dan negara, sebelum ini terpaksa ditutup jam 9.05 pagi pada 1 November 1996 setelah lebih 100 tahun digunakan.
Tapak penjara yang terletak di kawasan segi tiga emas ini akan dibangunkan untuk tujuan komersial oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan sebagai gantinya, UDA membina Penjara Sungai Buluh yang mempunyai keluasan 89.03 hektar terletak lebih kurang 36 km dari Kuala Lumpur.
Berdasarkan perancangan, tembok Penjara Pudu mulai dirobohkan pada waktu malam mulai 20 hingga 23 Jun ini.
Penulis berhenti di bangunan depan Penjara Pudu dan nostalgia lama kembali mengimbas fikiran mengenai insiden hitam di penjara berusia lebih seratus tahun.
Kisah penawanan dua orang awam iaitu Dr Radzi Jaafar dan pegawai perubatan Abdul Aziz Abdul Majid oleh enam orang banduan reman yang diketuai oleh penjenayah Jimmy Chuah adalah kenangan paling mendalam di jiwa penulis.
Bertugas sebagai wartawan meja jenayah di akhbar harian tabloid berbahasa Melayu pertama, Harian Nasional, penulis ‘berkampung hampir enam hari di depan Penjara Pudu mengikuti detik-detik cemas sebelum penawanan itu berakhir dengan semua banduan menyerah diri
Bukan sahaja petugas media, pegawai dan anggota polis dan pegawai perubatan sentiasa tidak senang duduk menunggu detik demi detik yang berlalu dan berharap tiada insiden lebih buruk berlaku ekoran tragedi itu.

Penulis hanya pulang ke rumah untuk mandi dan menukar pakaian. Makan, minum dan tidur sekadar melepaskan lelap hanya di bongkah batu besar di depan penjara itu.
Bagaimanapun, kepintaran dan keberanian Ketua Penjara Penjara ketika itu Datuk Ibrahim Mohamed dan Unit Tindakan Khas (UTK) di ketuai Datuk Mohd Zaman Khan berjaya menamatkan insiden itu tanpa meragut nyawa walaupun penembak tepat polis sudah bersedia bertindak jika situasi mengancam.
Jimmy Chua, seorang penjenayah warga Singapura yang merupakan dalang disebalik drama tebusan tersebut berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Kejadian pada pagi 17 Oktober 1986 itu tidak pernah berlaku dalam sejarah penjara negara malah turut menggemparkan seluruh dunia hanya berakhir jam pukul 5.40 pagi pada 22hb Oktober 1986.
Selain kes Jimmy Chua, penulis mengingati Penjara Pudu kerana ketokohan dan kewibawaan Ibrahim sebagai Ketua Pengarah Penjara yang banyak membawa perubahan kepada sistem penjara, penubuhan Maktab Penjara serta Kompleks Penjara di Sungai Jerluk, Kajang.
Sistem intercom yang membolehkan banduan berbual dengan pelawat di sebalik dinding kaca diperkenalkan ketika zaman beliau.
Penulis mengenang Ibrahim kerana keistimewaan yang penulis perolehi daripadanya.
Ianya, sepucuk surat bertandatangan beliau membenarkan penulis masuk ke mana-mana penjara di negara ini untuk mendapatkan kisah-kisah menarik di sebalik tembok batu bertingkap besi itu.
Bermula di Penjara Pudu, penulis berpeluang seorang banduan di kenali Pak Mat yang masuk dan keluar penjara 47 kali sedangkan usianya ketika itu sekitar 40 an.
Alasan Pak Mat, beliau senang di penjara kerana hidupnya lebih selesa kerana ada tempat tinggal, makanan dan pakaian selain duit poket kerana kerja-kerja yang dikhususkan kepada banduan seperti membuat kraftangan.

Justru itu, apabila selesai menjalani hukuman dan keluar penjara, Pak Mat akan melakukan jenayah kecil supaya di tangkap dan boleh masuk semula. Bagi Pak Mat, tiada seiapa di luar tembok batu itu yang mengambil berat terhadap bekas banduan Malah, Pak Mat sudah mesra dengan semua pegawai atau warden di penjara tersebut.
Sebenarnya banyak lagi cerita-cerita menarik di sebalik tembok batu itu khususnya Penjara Pudu yang turut menempatkan Blok D sebagai bilik akhir dan bilik gantung.
Dari tahun 1960 hingga 1993, seramai 180 pesalah telah menjalani hukuman gantung sampai mati disini.
Penulis sempat di bawa meninjau blok bilik akhir dan tempat hukuman gantung oleh Ibrahim.
Mudah cakap, banyak berita dan bahan-bahan menarik di penjara jadi ‘scoop’ penulis berbanding penerbitan lain.
Bagaimanapun, selepas Ibrahim bersara pada 1988 dan penulis berhijrah ke syarikat penerbitan lain, hubungan penulis dengan pegawai dari Kelantan itu serta pegawai-pegawai penjara yang lain terputus.
Walaupun Zaman Khan pernah bertugas sebagai Ketua Pengarah Penjara selepas itu, penulis sudah berhenti menulis berita-berita berkaitan penjara kecuali kisah trajis bomoh Mona Fandey yang didapati bersalah membunuh Adun Batu Talam Datuk Mazlan Idris.
Kini kerana kedudukannya di dalam kawasan segitiga emas Bukit Bintang yang pesat membangun dan kesesakan arus lalulintas,bangunan penjara ini tidak lagi dapat dipertahankan.
Cadangan meroboh tembok penjara Pudu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah di Jalan Pudu tanda terkuburnya penjara yang menyimpan seribu satu kenangan yang nyata dan misteri itu.


Kredit : http://pouchnote.blogspot.com

No comments:

Post a Comment