Total Pageviews

Thursday, July 21, 2011

Sejarah Dan Rahsia Keenakan Makanan Sichuan....


Ma Po Taufu

Provinsi Sichuan disifatkan sebagai pusat masakan yang sedap di negeri China. Masakan Sichuan, yang merupakan satu daripada "Lapan Masakan China", amat disukai oleh orang ramai, bukan hanya di Sichuan, malah di seluruh negara. Masakan Sichuan rasanya sedap, pedas dan kebas. Mengapa orang Sichuan gemar rasa pedas dan kebas? Menurut penjelasan pakar budaya rakyat Sichuan bahawa ini ada kaitannya dengan sejarah dan tempat di provinsi ini. Oleh sebab Sichuan terletak di kawasan lembangan, cuaca yang agak lembap di wilayah tersebut menyebabkan banyak orang kena penyakit reumatisme. Lada kebas dan cili pula dikatakan mempunyai fungsi menghilangkan kelembapan dalam tubuh manusia. Orang tempatan Sichuan, pada mulanya makan lada kebas dan cili hanya untuk menghapuskan kelembapan dalam badan, tetapi lama kelamaan, mereka menjadi sangat gemar akan rasa ini. Menurut statistik kasar, ada lebih 4,000 jenis lauk dalam masakan Sichuan. Antaranya Ma Po Taufu dikenali sebagai salah satu masakan Sichuan yang paling terkenal. Taufu yang berwarna putih, dimasak dengan bawang serta daging lembu yang dipotong nipis-nipis, kelihatan sangat enak.
Ma Po Taufu mempunyai sejarah lebih seratus tahun. Terdapat juga satu cerita tentang asal usul masakan ini. Masakan ini berasal dari sebuah restoran yang kecil di utara Chengdu. Pemilik restoran itu dari keluarga Chen, dan isterinya ada banyak bintik pada mukanya. 'Ma' pula bermaksud bintik. Maka orang ramai memanggil isteri Chen itu 'Chen Ma Po', yang bermaksud isteri Chen yang mempunyai banyak bintik. Dia sangat pandai memasak taufu. Maka masakan ini dinamakan Ma Po Taufu.


Seperti Ma Po Taufu, steamboat juga disukai oleh orang ramai di seluruh negeri. Menurut kata orang Sichuan, mereka yang tidak mencuba steamboat di Sichuan, sebenarnya tidak melawat ke tempat ini. Ini mencerminkan betapa gemarnya orang Sichuan kepada steamboat. Steamboat Sichuan rasanya berlainan dengan steamboat Beijing. Kuah steamboat Sichuan ditambah dengan beberapa banyak jenis rempah seperti cili, lada kebas dan lemak lembu dan rasanya amat pedas dan kebas. Hampir semua jenis makanan daripada daging dan sayur hinggalah hasil laut dan lain-lain boleh menjadi bahan steamboat.



Makanan ringan Sichuan juga disukai oleh orang ramai. Antaranya Lai Tang Yuan (kuih pulut yang berinti), Long Chao Shou (wantan), Zhong Shui Jiao (Jiaozi), Dan Dan Mian (mi), San Da Pao dan lain-lain.


Makanan ringan Sichuan bukan sekadar makanan sahaja, ia juga merupakan kebudayaan. Kebanyakan makanan ini juga mempunyai nama yang amat menarik, seperti San Da Pao. Sebenarnya ini ialah sejenis kuih pulut yang ditambah air gula melaka. Mengapa ia dipanggil San Da Pao?


Menurut cerita bahawa San Da Pao ialah kuih berbentuk bulat yang diperbuat daripada tepung pulut. Apabila kuih ini dilontar kuat-kuat di atas piring tembaga, kedengaranlah bunyi seperti tembakan meriam. Maka tiga biji kuih ini disebut 'San Da Pao' yang bermaksud tiga tembakan meriam.


Kredit : http://malay.cri.cn



No comments:

Post a Comment